‘Serangan Manja’ Parti Lawan Tidak Jejas Kempen, Fokus Dekati Rakyat – Dr Akmal

JASIN, 18 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh tidak mengambil kisah dengan serangan yang diberikan parti lawan pada hari-hari terakhir kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

Menurut Dr Akmal beliau menyifatkan situasi tersebut sebagai ‘gurauan manja’ daripada mereka dan beranggapan ianya sengaja disensasikan kerana ketandusan idea.

“Mereka bagi serangan kasih sayang tapi macam saya kata dari awal kita kali ini cuba membawa gaya politik baharu yang disukai oleh rakyat kerana mereka sudah tidak mahu gaya politik yang tidak baik.

“Rakyat mahukan orang politik yang mesti boleh bercakap mengenai idea jadi setakat ini dua tiga perkara yang saya rasa biasa tapi tidak begitu berat.

“Pada saya ini menunjukkan bahawa mereka ketandusan isu tapi saya tidak melayan sebab masih banyak lagi agenda yang kena dibangunkan demi rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, Dr Akmal turut menjangkakan berlaku peralihan mood mengundi yang akan memihak kepada BN berdasarkan pengalaman rakyat yang pernah dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).

“Alhamdulillah penerimaan rakyat adalah positif saya juga menjangkakan kemungkinan ada swing voters yang akan mengundi kita pada kali ini disebabkan beberapa faktor antaranya BN menjanjikan perubahan yang besar malah mereka turut ingat bila mana ditipu oleh PH.

“Ini menyebabkan suatu peluang kepada kita namun yang paling penting calon yang dipertaruhkan betul-betul berkhidmat kepada rakyat.

“Sudah seminggu dan lagi tiga hari lagi kita sudah berjumpa hampir 85 peratus pengundi yang berada di DUN Merlimau, jadi berbaki lagi dua hari ini saya akan cuba lengkap lagi, saya rasa kita boleh berjaya untuk mendekati 96 peratus pengundi pada hari Jumaat ini nanti,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.