BN Bawa Sinar Pembaharuan, Ekonomi Terus Berkembang – Pengundi

REMBIA, 16 Nov – Penduduk di Rembia melihat manifesto yang dibentangkan oleh Barisan Nasional (BN) bersesuaian dengan keperluan rakyat.

Tinjauan UMNO-Online mendapati, masing-masing berpandangan dan mengharapkan calon di kawasan masing-masing dapat membawa pembaharuan serta meningkatkan taraf kehidupan.

Bagi Mohd Aizad Safuan Ainudin, 33, pengurus di sebuah syarikat swasta berharap BN telah membawa satu sinar kepada rakyat Melaka sama ada dari segi calon mahupun manifestonya.

“Sebenarnya saya nampak BN telah membawa satu pembaharuan yang baik di mana mengetengahkan calon baru seperti di Rembia iaitu Datuk Jailani Khamis, penduduk di sini semuanya menghargai jasa dan budi Jailani dan ramai yang bercerita tentang kebaikannya dan ianya mudah dijumpai dan senang memberi bantuan. Ini satu kelebihan bagi beliau (Jailani) dan nampak penduduk Rembia begitu suka.

“Dalam manifesto BN juga ada memberikan peluang anak muda dalam bidang keusahawan, memberikan bantuan dana dan peralatan perniagaan serta memberi skim perumahan bagi anak muda Melaka.

“Anak-anak muda di Melaka ini mempunyai iltizam, kesungguhan, keyakinan dan ketahanan yang cukup tinggi serta luar biasa untuk menjadi tonggak penting kemajuan masa hadapan Negara,” katanya.

Sementara itu Suriani Shafie, 45, suri rumah, berkata kestabilan politik bagi sesebuah negara amat penting kerana ia memberikan kesan besar kepada ekonomi untuk terus berkembang dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya mohon negara ini dalam kestabilan politik dan dapat menjanakan ekonomi tempatan dan terbaik dan struktur pendidikan. Hanya dengan mandat yang kukuh, sesebuah kerajaan itu dapat melaksanakan pelbagai dasar dan polisi untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya dan ekonomi negara.

“COVID-19 ini telah menggangu terutama sekali di bidang pendidikan, ekonomi dan sosial kehidupan namun cadangan yang dibawa oleh BN untuk memperkasakan ekonomi semua golongan amat bermakna bagi rakyat Melaka,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.