SOP Kempen PRN Melaka Sewajarnya Mendidik Rakyat, Tentukan Kerajaan Bakal Dipilih

MELAKA, 12 Nov – EXCO Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Musliha Khoruddin menganggap implementasi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sewajarnya memberi pendidikan kepada rakyat untuk fasa yang lebih meyakinkan demi menentukan kerajaan yang bakal dipilih.

Namun katanya, persoalan timbul mengapa tiada keseragaman dan ‘majlis’ berkempen tidak dibenarkan.

“Sewajarnya pihak tertentu memberi pendidikan kepada rakyat untuk fasa yang lebih meyakinkan. PRN Melaka menjadi satu contoh bagaimana rakyat terus dimomokkan dan ditekan dengan SOP yang merugikan demi menentukan kerajaan yang bakal dipilih.

“Adakah kita sendiri tidak yakin dengan program vaksinasi berharga berbillion ringgit ini? Kita terus dimomokkan dengan rasa takut sedangkan di negara lain keadaan telah hampir kembali seperti sediakala.”

Dalam hal ini beliau membandingkan dengan PRN Sabah yang ketika itu pentadbiran negara diterajui oleh Perdana Menteri Kelapan dengan penularan wabak COVID-19 berada dalam keadaan yang membimbangkan sementara majoriti penduduk masih belum divaksin.

“Suasana PRN Sabah rancak seperti biasa seolah-olah tiada pandemik. Aktiviti ceramah, kempen ziarah rumah ke rumah serta beberapa program keramaian lain diatur bagi tujuan meraih undi. Natijahnya, selepas PRN Sabah peratusan penularan wabak ini meningkat.

“Kini, rakyat berdepan dengan PRN Melaka pula dan dalam keadaan Lebih 95% rakyat Malaysia telah divaksin.

“Di manakah logiknya jika di Sabah dibiarkan sahaja tetapi di Melaka terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan untuk berkempen. Upacara keramaian telah pun dibenarkan seperti majlis perkahwinan, seminar dan sebagainya.

Ujarnya, ini menyebabkan implementasi SOP PRN Melaka dianggap sebagai satu keputusan politik yang terus menjadi polemik malah wajar direnungkan bersama.

Dalam hal ini, beliau mengambil analogi di Eropah setelah 55% penduduk mereka divaksin, maka Kejohanan EURO2020 menyaksikan stadium telah dipenuhi oleh para penonton seolah-olah tiada lagi pandemik.

“Laporan terkini WHO menyatakan bahawa gelombang baru di Eropah, mereka yang dijangkiti adalah kerana enggan menerima vaksin.

“Hari ini apabila lebih 95% penduduk mereka telah divaksin, kehidupan hampir kembali normal seperti biasa. Ini bermakna mereka percaya dengan program vaksinasi yang telah membelanjakan berbillion ringgit. Harga yang mahal itu dibayar dengan kebebasan berpaksikan kehidupan normal,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.