Rapatkan Saf Kepimpinan, Perkukuh Parti… Bantu Rakyat Terjejas COVID-19 – Azeez Rahim

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abd Azeez Abdul Rahim menegaskan beliau sentiasa memberikan taat setia yang sepenuhnya kepada sebarang keputusan parti.

Beliau juga mengajak para pimpinan dan ahli parti untuk merapatkan saf bagi memperkukuhkan parti dan bersama membantu rakyat yang kini terjejas dengan pandemik COVID-19.

“Saya adalah ahli parti, saya setia kepada parti saya dan keputusannya. Sebarang keputusan parti adalah secara keseluruhan. Apa sahaja yang diputuskan akan kami lakukan bersama.

“Buat masa ini saya mahu membuat tumpuan penuh khas kepada rakyat Baling selaku ahli Parlimen dan ketua bahagian dalam usaha menangani pandemik COVID-19.

“Justeru kita semua rapatkan saf kepimpinan, rapatkan barisan dan beri tumpuan kerja-kerja kebajikan bantuan kepada rakyat saya mana saya akan mulakan dengan vaksinasi rumah ke rumah, kawasan ke kawasan dalam daerah Parlimen Baling yang sudah bermula hari ini,” beliau berkata demikian dalam sidang media yang dilaksanakan secara maya, hari ini.

Beliau juga menjawab dakwaan segelintir pihak yang mengatakan beliau mengkhianati arahan MKT.

“Tidak benar, sebagai seorang ahli parti yang bertanding atas nama UMNO dan Barisan Nasional, tak mungkin ia benar. Saya ingin maklumkan tandatangan yang ditularkan itu ialah kehadiran saya bagi perjumpaan tersebut. Itu sahaja tiada surat apa-apa untuk kami tandatangani.

“Saya hadir sebagai ahli Parlimen untuk dengar penjelasan oleh timbalan perdana menteri yang mana sama dengan pendirian saya dan parti iaitu menjunjung titah Yang di-Petuan Agong iaitu saya akan laksanakan tanggungjawab saya di Parlimen untuk tentukan keabsahan kedudukan kerajaan hari ni,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.