Pekerja GiG Dapat Manfaat, Terima Kasih MB – Faiz Hashim
KUANTAN, 20 Nov – Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia Negeri Pahang, Muhammad Faiz Hashim menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas inisiatif menyediakan Insentif Bantuan Gig Negeri Pahang berjumlah RM1.1 juta menerusi Belanjawan Pahang 2027.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan dan kelangsungan hidup golongan pekerja ekonomi gig yang menjadi sebahagian penting dalam landskap ekonomi masa kini.
Jelasnya, bantuan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM300 itu dikhususkan kepada pekerja gig yang berdaftar serta mempunyai caruman aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Terima kasih Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas Insentif Bantuan Gig Negeri Pahang berjumlah 1.1 juta kepada Pekerja Ekonomi Gig Pahang secara one off RM 300 dan pekerja gig yang berdaftar dengan caruman aktif dibawah SKPS PERKESO di dalam Belanjawan Pahang 2027.
“Semoga dengan bantuan oleh Kerajaan Negeri Pahang ini dapatlah membantu meringankan sedikit bebanan yang ditangung oleh pekerja gig di Pahang ini demi kelangsungan hidup. Terima kasih sekali lagi,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang disifatkan sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kepentingan pekerja gig di seluruh negara.
“Terima kasih juga kepada Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, yang sentiasa prihatin dan berjuang demi kebajikan pekerja gig di Seluruh Malaysia.
“Semoga usaha berterusan ini dapat memastikan suara dan kebajikan pekerja gig terus diberi perhatian sewajarnya,” ujarnya. – UMNO Online
