Krisis NS: Semua ADUN BN-PN Sepakat Akur, Patuh Keputusan Parti
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi satu hantaran di laman Facebooknya berkata, satu perjumpaan khas telah diadakan pada Jumaat.

“Seramai 22 daripada jumlah keseluruhan 25 ADUN BN dan PN Negeri Sembilan telah mengadakan perjumpaan khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan, Seremban pada Jumaat malam.
“Selain Datuk Ismail Lasim yang tidak hadir dalam perjumpaan ini, dua lagi ADUN yang tidak hadir berada di luar negara. Namun, kedua-dua ADUN yang berada di luar negara telah menyatakan sokongan penuh atas apa jua keputusan mesyuarat pada malam ini.
“Dalam perjumpaan khas ini, kesemua ADUN telah mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti termasuk ADUN-ADUN daripada PN.
“Ini bagi memastikan segala kemelut politik yang sedang melanda dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Pada Jumaat media melaporkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Datuk Ismail Lasim meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Ismail ketika mengesahkan perkara tersebut berkata beliau akan memberikan komitmen untuk terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.
Terdahulu, Datuk Ismail Lasim dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan menerusi surat peletakan jawatan yang telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November 2026. – UMNO Online
