Pengukuhan Penerangan UMNO Perlu Libatkan Semua Peringkat

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob berpandangan pengukuhan jentera penerangan parti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan melibatkan Wanita UMNO bahagian-bahagian.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang berkata, ini kerana pengukuhan peranan penerangan bukan hanya tertumpu kepada peringkat pusat malah perlu melibatkan akar umbi bahagian bagi memastikan gerak kerja yang dirancang dapat dilaksanakan.

“Penerangan Wanita UMNO bahagian tidak seharusnya ketinggalan dalam melaksanakan gerak kerja baharu ini.

“Sebaliknya Penerangan Wanita UMNO bahagian perlu menjadi jentera penerangan paling kuat di peringkat akar umbi.

“Wanita perlu memainkan peranan tersebut dan kita tidak boleh lagi menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak lain,” katanya.

Suraya berkata demikian ketika berkata demikian ketika Kursus Penerangan Bersama Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian seluruh Malaysia di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Ketua-ketua Penerangan Wanita Bahagian seluruh Malaysia.

Sementara itu, Suraya memaklumkan kursus penerangan UMNO telah selesai dilaksanakan di tujuh negeri setakat ini dan akan diteruskan ke Pahang pada esok.

Katanya, program berkenaan akan diteruskan di lima negeri lain pada Januari tahun hadapan bagi menyampaikan kepentingan peranan Penerangan UMNO Malaysia serta jentera penerangan di peringkat bahagian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO