Premium RM4.67 Juta Jadi RM1,000… Rakyat Berhak Dapat Penjelasan

JOHOR BAHRU, 20 Nov – UMNO Johor menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan terperinci berhubung keputusan menetapkan premium tanah bagi pajakan sehingga 99 tahun kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada kadar RM1,000, berbanding anggaran asal RM4.67 juta.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah berkata, usaha memelihara bangunan warisan wajar dihargai, namun keputusan melibatkan tanah awam perlu dibuat secara telus dan berasaskan kaedah pengiraan yang jelas.

Menurutnya, penjelasan bahawa kegunaan tanah berkenaan ditukar daripada komersial kepada institusi perlu diperincikan bagi membolehkan rakyat memahami asas penetapan premium tersebut.

“Berapakah nilai tanah selepas pertukaran kategori kegunaan itu? Apakah kaedah yang digunakan sehingga premium akhirnya ditetapkan tepat pada RM1,000?

“Perubahan status tanah mungkin menjelaskan mengapa nilainya berkurang, tetapi belum menjelaskan bagaimana angka tersebut diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md Israk turut membangkitkan persoalan mengenai status warisan bangunan berkenaan yang telah diiktiraf sejak 2007.

Katanya, sekiranya status warisan menjadi pertimbangan utama dalam penetapan premium, pihak berkuasa perlu menjelaskan bagaimana anggaran asal RM4.67 juta dibuat sedangkan pengiktirafan tersebut telah lama wujud.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa terlibat, termasuk Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan, Pejabat Tanah dan pihak penilai, mendedahkan maklumat berkaitan nombor lot serta keluasan tanah, selain asas pengiraan bagi kedua-dua kadar premium berkenaan.

Beliau juga mahu identiti pihak yang memperakukan dan meluluskan kadar RM1,000 itu dinyatakan secara terbuka.

“Kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada kriteria yang sama boleh digunakan oleh pertubuhan lain yang turut menjaga dan memelihara bangunan warisan.

“Soal tanah awam menuntut kaedah yang adil, terbuka dan dapat difahami oleh semua,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha pemeliharaan warisan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelakkan persoalan mengenai ketelusan keputusan pentadbiran tanah.

“Siapa yang meluluskan premium RM1,000 daripada anggaran RM4.67 juta, dan apakah asas bertulis bagi keputusan itu?

“Jawablah dengan dokumen dan pengiraan. Dengan itu, rakyat dapat menilai keputusan ini secara tenang dan adil,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO