UMNO Jasin Kecewa PM Memimpin Bertentangan Dengan Rukun Negara – Hasan Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – UMNO Bahagian Jasin merasa amat kecewa dengan tindakan kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang tidak menumpahkan taat setianya apabila sanggup mengenepikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan membelakangkan fungsi Parlimen.

Ketuanya, Datuk Hasan  Abd Rahman berkata,sikap ini tidak seharusnya ada pada diri seorang rakyat Malaysia lebih-lebih lagi sebagai seorang Perdana Menteri yang boleh dilabelkan sebagai menderhaka.

“UMNO Bahagian Jasin menganggap perkara ini adalah amat besar kerana Tan Sri Mahiaddin Md Yasin seolah-olah memimpin kerajaan ini secara bertentangan dengan Rukun Negara. Kita tidak ingin melihat generasi akan datang dipengaruhi dengan model yang tidak berprinsipkan kesetiaan kepada Raja dan Negara. Apabila fungsi Parlimen dipermainkan, kedaulatan undang-undang tercabul. Apabila sumpah dan janji dimungkiri, keluhuran Perlembagaan digadaikan. Apabila titah dipersenda, kesopanan dan kesusilaan hilang.

“Kewibawaan kerajaan dalam memberikan keutamaan terhadap kemaslahatan rakyat dilihat sebagai sandiwara. Justeru, Ahli Majlis Tertinggi UMNO perlu menarik balik keputusan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri dan mendesak agar beliau meletak jawatan secara terhormat,”  katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai turut menjelaskan tindakan ini perlu bagi membolehkan kerajaan berfungsi sebagai pemerintah yang proaktif, cekap dan berwibawa terutamanya negara dalam keadaan pandemik.

Tambahnya lagi, fokus utama  dalam mensejahterakan rakyat dan negara adalah amat penting, justeru itu tindakan untuk memulihkan negara haruslah dipastikan melalui sistem yang betul.

“UMNO menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta mempertahankan kedaulatan Raja-raja pemerintah, sebagaimana asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela institusi Raja-raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

“UMNO Bahagian Jasin dengan ini, menggesa agar kerajaan memohon ampun terhadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta memohon maaf terhadap rakyat Malaysia kerana telah menyebabkan kekeliruan dan kesengsaraan. Justeru itu, wajarlah beliau berundur secara terhormat bagi membolehkan seseorang yang lebih bertanggungjawab,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.