UMNO Bangi Mendesak Mahiaddin Dan Takiyuddin Letak Jawatan – Dr Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – UMNO Bahagian Bangi mendesak Perdana Menteri, Tan Seri Mahiaddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Seri Takiyuddin bertanggunjawab di atas tindakan mereka yang bersifat derhaka kepada ke bawah Duli Tuanku Yang Di Pertuan Agong (YDPA) dengan meletak jawatan secara terhormat dalam kadar segera.

Ketuanya, Datuk Dr  Mohd Zaidi Mohd Zain memberikan penegasan pendirian menyokong dan mendokong kenyataan media Presiden UMNO Malaysia, Datuk  Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikeluarkan pada 29 julai lalu.

“UMNO Bahagian Bangi memandang serius tindakan  Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tidak menjunjung titah perintah Yang Di-Pertuan Agong Malaysia (YDPA) supaya  Ordinan Darurat di bawa ke sidang dewan rakyat terlebih dahulu untuk dibahas dan diungkaikan, sebaliknya mengingkari titah perintah tersebut  dengan mengumumkan pembatalan  enam Ordinan Darurat  pada 26 julai. Tindakan yang bercanggah  dan tidak tepat itu telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan sehingga melahirkan rasa kesal dan dukacita Tuanku YDPA seperti mana yang dizahirkan melalui surat yang diwasalkan oleh Istana Negara kepada Perdana Menteri bertarikh 29 julai dan telah pun ditularkan.

“Ke Bawah Duli YDPA telah bertitah selaras dengan fungsi kuasa dan peranan Baginda berdasarkan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang demi menjaga kepentingan rakyat jelata yang sedang sengsara dan tertekan  akibat penularan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat sehinggakan banyak nyawa telah hilang serta mengakibatkan krisis ekonomi dan sosial yang semakin memburuk,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah beliau,  lanjutan itu Tan Seri Mahiaddin  telah mengeluarkan kenyataan justifikasi membenarkan pembatalan  Ordinan- Ordinan Darurat di mana turut mempertikaikan dan mempersoalkan kuasa Legistatif YDPA sewaktu Proklamasi Darurat bagi menyokong dan mempertahankan tindakan  Datuk Seri Takiyuddin Hasan.

“Ini telah mewujudkan persepsi dan andaian kepada rakyat jelata bahawasanya kerajaan yang turut disertai parti UMNO telah melakukan penderhakaan kepada Baginda YDPA dan telah menyebabkan UMNO turut terheret dan terpalit dengan penderhakaan tersebut.

“Sesungguhnya, UMNO adalah sebuah parti yang menjunjung dan membela kepentingan Raja berpelembagaan seperti mana termaktub di dalam fasal 3.3 Perlembagaan UMNO dan ini membuktikan UMNO tidak terlibat dengan sebarang tindakan pengkhianatan dan penderhakaan yang telah dilakukan oleh  Tan Seri Mahiaddin dan  Datuk Seri Takiyuddin,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.