COVID-19: Hentikan Kegagalan Ini, Rakyat Tidak Tahan Lagi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Sejak awal lagi UMNO mencadangkan supaya buat `total lockdown’ yang ‘total’ untuk menurunkan kadar jangkitan COVID- 19, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, secara tidak langsung ia dapat membantu perniagaan dan pekerja yang terjejas sehingga keadaan menjadi stabil serta risiko jangkitan dapat dikurangkan secara drastik.

“Apakan daya nasi telah jadi bubur, hampir setiap hari ratusan nyawa terkorban.

“Sebab itu UMNO bertegas cukup-cukup sudah dan hentikan kegagalan ini. Rakyat tidak mahu lagi dan sudah tidak tahan.

“Kerajaan perlu diperbetulkan. Ketuanya telah gagal dan membawa pengikutnya sama gagal. Perbetulkan segalanya demi rakyat dan negara.

“Saya fikir rakyat akan ingat apa yang mereka lakukan. Jangan fikir rakyat mudah lupa dan senang digula-gulakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga mengharapkan agar seluruh rakyat bersama-sama berdoa semoga semuanya ini dipermudahkan, hanya Allah SWT sebaik-baik perancang dan yang menentukan segalanya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid merasa terkilan dengan luahan dari seorang isteri yang kematian suami akibat jangkitan COVID-19 di Muar, Johor baru-baru ini.

“Mereka mungkin tidak mengerti nilai nyawa arwah suami saya yang terkorban kerana mereka tidak mengharungi detik yang kami lalui. Saya fikir setiap insan yang mempunyai naluri dan perasaan pasti luluh hati membaca luahan itu.

“Itu sebab kita katakan ramai rakyat sedang kecewa. Sangat kecewa dengan apa yang berlaku pada negara hari ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.