Jambatan Kampung Seberang Guai Dijangka Siap Pada September – Ismail Sabri

BERA, 1 Ogos – Jambatan Kampung Seberang Guai, di sini dijangka siap sepenuhnya dan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada hujung September depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembinaan jambatan yang dapat memanfaatkan kira-kira 2,000 penduduk sekitar kawasan itu sudah 98 peratus siap setakat ini.

“Saya difahamkan kerja-kerja tambahan seperti membuat tembok penahan bernilai RM2 juta akan dilaksanakan juga supaya struktur jambatan tidak terganggu akibat hakisan air terutama sewaktu musim tengkujuh.

“Selain itu, saya berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan, cuma ada kelewatan untuk siap itu pun disebabkan ketiadaan bahan mentah berikutan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Komuniti Kampung Mengkarak di sini hari ini selepas meninjau pembinaan jambatan tersebut.

Pembinaan jambatan sepanjang 770 meter yang mula dibina pada 2017 dengan anggaran kos sebanyak RM98.5 juta itu bakal memendekkan tempoh jarak perjalanan penduduk kampung itu ke pusat bandar Bera daripada satu jam 20 minit kepada hanya kira-kira setengah jam.

Dalam lawatan kerjanya itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan turut menyampaikan al-Quran dan bakul makanan kepada wakil penduduk dan pengerusi masjid sekitar Bera, di sini.

Sementara itu, ibu tunggal Saariah Hamid, 51, bersyukur dengan bantuan berkenaan kerana ia dapat meringankan bebannya yang hanya berniaga makanan secara kecil-kecilan di tepi jalan.

“Dengan sumbangan seperti beras dan barang-barang lain ia dapat jimatkan belanja harian saya untuk menyediakan makanan kepada keluarga, saya sangat berterima kasih kerana turut mendapat perhatian dan bantuan bakul makanan ini,” kata ibu kepada tujuh anak itu.

Bagi Tok Ampat Kampung Mengkarak di sini, Rosli Mohd Yunan, 68, bantuan bakul makanan ini diutamakan kepada penduduk yang dikategori sebagai miskin tegar.

“Seramai 60 orang penduduk kampung ini akan menerima bantuan dengan kami dahulukan golongan miskin tegar yang kehilangan punca pendapatan.

“Kemudian, kami akan sampaikan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan B40, apa pun saya mewakili penduduk berterima kasih dengan bantuan makanan ini,“ katanya yang hadir mewakili penduduk kampung berkenaan.

Pada program berkenaan, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu turut meluangkan masa kira-kita setengah jam di Masjid Darul Fikri selain menyampaikan bantuan set pengurusan jenazah kepada masjid berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.