50 Peratus Penduduk Dewasa Lengkap Dua Dos Vaksin Menjelang 31 Ogos – Khairy

JEMPOL, 1 Ogos – Kerajaan optimis dapat mencapai sasaran 50 peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas di negara ini aklan melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 menjelang 31 Ogos ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sasaran itu mampu dicapai susulan kadar vaksinasi yang tinggi ketika ini selain 29 peratus daripada penduduk dewasa telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin, setakat ini.

“Sebanyak 59 peratus lagi daripada penduduk negara ini telah menerima satu dos.

“Saya telah umumkan bahawa pada Hari Kebangsaan 31 Ogos ini, 50 peratus populasi dewasa akan menerima suntikan vaksin sepenuhnya, itulah sasaran baharu kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di perkampungan Orang Asli Kampung Batu Peti di sini hari ini.

Untuk rekod setakat semalam, seramai 20,533,660 individu telah divaksinasi di seluruh negara membabitkan 13.8 juta untuk dos pertama manakala 6.7 juta individu lengkap kedua-dua dos.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata operasi vaksinasi tanpa janji temu atau jumpa terus (walk-in) akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat dengan keutamaan diberikan kepada golongan warga emas.

Beliau berkata perkembangan mengenai perkara itu akan diumumkan dari semasa ke semasa bergantung kepada bekalan vaksin dalam negara.

“Kebanyakan negeri kita akan umumkan walk-in khusus untuk warga emas, saya rasa hampir kesemua negeri akan menjalankan janji temu secara walk-in dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata kerajaan sedang memperhalusi draf kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang akan diberikan kepada penerima dua dos vaksin COVID-19 dan akan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan setakat ini beliau berpuas hati dengan perkembangan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di kawasan terpencil terutamanya di perkampungan Orang Asli.

Katanya kerjasama daripada wakil rakyat di kawasan terlibat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta langkah proaktif Tok Batin yang menawarkan diri untuk divaksin terlebih dahulu meningkatkan lagi keyakinan komuniti Orang Asli untuk menerima suntikan vaksin.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.