600 Veteran Tentera, Orang Asli Dilantik Sebagai Renjer Hidupan Liar

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melantik 600 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan Orang Asli (OA) sebagai renjer hidupan liar di bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3) sehingga Jun lepas.

Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pelantikan itu bagi meningkatkan bilangan renjer selain sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap peranan anggota tersebut yang selama ini berkorban untuk mempertahankan sumber kekayaan dan khazanah semula jadi negara.

“Renjer adalah frontliner (anggota barisan hadapan). Mereka sebagai benteng bagi membanteras pencerobohan untuk melindungi biodiversiti. Renjer di negara ini berkhidmat di pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri malah terdapat sukarelawan di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut memainkan fungsi berkenaan,” katanya dalam kenyataan Sempena Hari Renjer Sedunia 2021, hari ini.

Hari Renjer Sedunia disambut pada 31 Julai bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta tanggungjawab dimainkan oleh renjer selaku pejuang belantara dalam memastikan sumber semula jadi dan biodiversiti negara dilindungi.

Mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada renjer di seluruh negara, Shamsul Anuar berkata kerajaan berterima kasih kepada anggota tersebut yang sentiasa komited melaksanakan tugas walaupun ketika pandemik COVID-19.

“Tugasan untuk melindungi hidupan liar, habitat semula jadi, menangani konflik manusia dan hidupan liar, menguruskan kawasan perlindungan serta penguatkuasaan tetap dijalankan dengan penuh dedikasi.

“Selamat Menyambut Hari Renjer Sedunia Tahun 2021,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.