Situasi Semasa Jangkitan COVID-19 Semasa Pelaksanaan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Pada 29 Julai 2021 jam 12.30 tengah hari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dimaklumkan mengenai dua (2) kes positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen. Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada 26 Julai 2021 (Isnin) sehingga 28 Julai 2021 (Rabu) dan dilaporkan positif COVID-19 pada 29 Julai 2021 melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selesema. Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai 2021 menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) saliva kerana beliau mengalami gejala batuk.

Siasatan kes mendapati kedua-dua kes ini tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga (3) hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula. Kedua-dua kes ini juga negatif COVID-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen. Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes, didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

Sehubungan itu, KKM telah menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai 2021 untuk menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit. Untuk makluman, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah digerakkan bagi menjalankan saringan di Parlimen pada 29 Julai 2021 dan tamat pada jam 8.00 malam.

Sehingga jam 8.00 malam 29 Julai 2021, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit pada 29 Julai 2021. Daripada jumlah yang disaring tersebut, sebanyak sembilan (9) lagi kes dikesan positif COVID- 19 menjadikan secara keseluruhan sepuluh (10) kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (1 kes tengah hari, 9 kes petang). Sebanyak dua (2) daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan (8) kes tidak bergejala. Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan COVID-19 tersebut.

Secara keseluruhan, sebanyak sebelas (11) kes positif telah dikesan pada 29 Julai 2021 iaitu sepuluh (10) melalui RTK Ag saliva test kit dan satu (1) melalui RT PCR.

Berikutan pengesanan kes-kes positif COVID-19 tersebut, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen. Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu. Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

30 Julai 2021

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: MOHD AZMI ABD MAJID
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: 03-88834536

BERNAMA