Program Vaksinasi ImmuPlan Akan Ditambah Baik – Hasni

JOHOR BAHRU, 30 Julai – Program vaksinasi ImmuPlan iaitu inisiatif kerajaan negeri Johor khusus untuk barisan hadapan ekonomi negeri itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai individu menerima vaksin COVID-19 menerusi program berkenaan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata penambahbaikan itu termasuk meningkatkan bekalan vaksin bagi membantu barisan hadapan ekonomi Johor termasuk pekerja Malaysia dengan permit kerja sah di Singapura selain memiliki surat tawaran kerja atau surat majikan di Singapura menerima vaksin.

Beliau berkata demikian selepas beramah mesra bersama penerima vaksin di bawah program vaksinasi ImmuPlan itu di Pusat Pemberian Vaksin Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini.

Hasni sebelum ini dilaporkan berkata program vaksinasi ImmuPlan yang bermula semalam itu akan menyediakan sebanyak 100,000 dos vaksin kepada barisan hadapan ekonomi Johor dengan fokus terhadap sektor perindustrian, peruncitan dan kerajaan.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor, program itu amat membantu rakyat negeri ini terutamanya kepada mereka yang mencari pendapatan di Singapura.

Penerima vaksin, K. Kanmani, 33, berkata, sejak pandemik melanda negara, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya di bandar raya ini disebabkan tidak dapat berulang-alik ke Singapura.

“Sebelum ini, saya terpaksa menunggu giliran menerusi aplikasi MySejahtera. Dengan adanya program ini, saya mendapat vaksin lebih cepat dan saya berharap dapat kembali bekerja secepat mungkin.

“Program vaksinasi ini juga sangat membantu pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura berikutan ia dapat menjimatkan kos untuk urusan kuarantin sekiranya masuk ke Singapura untuk bekerja,” katanya.

Seorang lagi penerima vaksin, Nor Fazlina Hamdan, 34, berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memperkenalkan inisiatif tersebut dan berharap hasratnya untuk bekerja semula di Singapura akan tercapai.

“Sebelum COVID-19, saya berulang-alik bekerja di Singapura sebagai pegawai khidmat pelanggan. Program sebegini wajar diteruskan, saya berharap program vaksinasi di bawah ImmuPlan ini dapat diperluaskan kepada seluruh warga Johor,” katanya. – BERNAMA