Ketepi Fahaman Politik, Kerjasama Perangi COVID

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu mengetepikan fahaman politik sebaliknya terus bekerjasama dalam memerangi COVID-19 termasuk dalam proses pemberian vaksin.

Perkara itu dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen, antaranya Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) dan Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi) pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Noh mencadangkan Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk membeli vaksin sedia ada secara terus daripada Pharmaniaga, berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Permohonan Pembelian Vaksin yang dikeluarkan.

“Soal COVID ini jangan fikir parti, ketepikan fahaman politik kerana ia tak kenal UMNO, PH atau PKR, semua akan kena… marilah bekerjasama dan benarkan kerajaan negeri dan pihak swasta beli (vaksin) dan selepas itu kita beri agihan kerja-kerja ini.

“… Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di (peringkat) persekutuan diteruskan tetapi di Selangor boleh tolong rakyat sekiranya Selangor beli dan beri pada rakyat, (bagi) kilang-kilang mereka (boleh) uruskan industri mereka sendiri tak perlu melalui orang ketiga,” katanya.

Pada 21 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa Pharmaniaga Bhd akan menjual 14 juta dos vaksin Sinovac kepada syarikat swasta dan negeri yang berminat mulai bulan ini sehingga September.

Ismail Sabri berkata penjualan vaksin secara terus kepada pihak yang berminat itu mendapat kebenaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan diyakini akan mempercepatkan lagi usaha mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada yang dirancang.

Noh turut mencadangkan pemberian vaksin menerusi PICK diberi keutamaan kepada Selangor dengan mengambil kira jumlah populasi selain situasi penularan COVID-19 yang tinggi di negeri itu.

Charles Santiago (PH-Klang) ketika bangun mencelah menyatakan populasi di Klang adalah seramai 1.5 juta namun peratusan yang telah menerima dua dos vaksinasi hanya 11 peratus sehingga hari ini, menunjukkan keperluan bagi meningkatkan pemberian vaksin.

Selangor mencatatkan kes harian COVID-19 melebihi 6,000 kes setiap hari selama seminggu berturut-turut bermula 22 Julai.

Senada dengan Noh, Dr Ong mencadangkan semangat bipartisan antara semua Ahli Parlimen dalam memainkan peranan untuk penyelesaian wabak COVID-19 semasa waktu genting ini.

“Saya rayu kepada semua ahli berhormat supaya kita perlu ada rancangan dan hala tuju yang berbeza daripada sebelum ini oleh kerana masa yang luar biasa ini memerlukan kepimpinan yang luar biasa bagi semua kita di dewan yang mulai ini,” katanya. – BERNAMA