PKPD Dikuatkuasakan Di 13 Lokaliti, 31 Premis Diarah Tutup – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Kerajaan akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang, bermula Rabu ini hingga 10 Ogos.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil setelah sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kesemua lokaliti berkenaan.

Beliau berkata di Sabah, lapan lokaliti terlibat ialah Kampung Kauran, Keningau; tiga perkampungan di Sipitang iaitu Kampung Menengah, Kampung Buang Sayang dan Kampung Pasir Putih Sipitang; Kampung Mostyn Lama, Kunak; Perumahan Ladang Pontian Kuril, Kinabatangan; Taman Kinarut Ria, Papar serta Kampung Tawadakan, Kota Belud.

PKPD di Kelantan pula melibatkan Kampung Telaga Tujoh, Labok, Machang, sementara di Pahang membabitkan Sungai Klau dan Sungai Chalit, Mukim Gali, Raub; Tapak Bina IBN Highland Genting Highlands, Bentong serta Kampung Pagar Batu 6 Penjom, Lipis.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata PKPD di beberapa lokaliti melibatkan Sabah dan Johor yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan hingga 10 Ogos.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.