KPT Dan Intel Elite Intership Program Penuhi Tuntutan IR4.0 – Noraini

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Tahap Kebolehpasaran Siswazah (GE) kalangan pelajar dalam menghadapi tuntutan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dapat dipertingkatkan melalui pelbagai program berkaitan penggunaan teknologi, terutama dalam bidang elektronik dan mikroelektronik.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata melalui program seumpama itu yang dianjurkan oleh kementeriannya bersama Intel Elite Internship Program, para siswazah daripada bidang elektronik dan mikroelektronik boleh diserap terus ke dalam industri tanpa perlu latihan tambahan.

“KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) berkerjasama secara aktif dengan Intel dalam pelbagai program dan saya dengan gembira mengakui peranan aktif Intel dalam menghasilkan program berkaitan penggunaan teknologi yang selari dengan fokus kerajaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Intel kerana berfungsi sebagai pemangkin revolusi kurikulum baharu di universiti dalam bidang Elektrikal dan Elektronik (E&E) serta Sains Komputer,” katanya dalam ucapan perasmian pada pelancaran secara maya program berkenaan hari ini.

Noraini berkata operasi Intel di Malaysia merupakan lokasi luar pesisir terbesar syarikat itu yang menyediakan asas kukuh kepada pilihan kerjaya dalam kalangan siswazah dengan lebih 2,300 pelajar telah diterima menjalani latihan amali di situ.

Beliau berkata berikutan penularan COVID-19, KPT telah melabur dalam beberapa usaha untuk meminimumkan kesan pandemik terhadap kebolehpasaran siswazah, termasuk program peningkatan kerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) seperti KPT-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP) yang menawarkan kemahiran dan peningkatan kemahiran serta program pembangunan keusahawanan.

KPT juga mewujudkan kolaborasi dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk Program Universiti untuk Komuniti.

“Selain itu, turut diadakan program pencarian kerjaya yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan program dengan rakan strategik kementerian termasuk bersama Intel seperti pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Noraini mengucapkah tahniah kepada 120 pelajar yang terpilih menyertai program KPT 2021 dan Intel Elite Internship.

Beliau berkata pogram latihan amali selama 10 minggu itu direka khusus untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan mengenai perisian sinopsis elektronik-reka bentuk-automasi (EDA) standard industri serta aliran reka bentuk litar bersepadu (IC).

Pelajar-pelajar berkenaan sedang mengikuti pengajian dalam Kejuruteraan Elektronik dan Mikroelektronik di 12 universiti awam iaitu Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.