Kebanyakan Negeri Dijangka Beralih Ke Fasa Empat PPN Seawal Oktober

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menjangkakan kebanyakan negeri akan dapat beralih ke Fasa Empat, iaitu fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal Oktober ini.

Ketika memberi penerangan mengenai PPN pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata ini berdasarkan usaha berterusan kerajaan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang kini sedang berjalan lancar.

Untuk itu, Perdana Menteri berkata selain memantau secara rapi keadaan di setiap negeri dari semasa ke semasa dan mengambil langkah intervensi mengikut keperluan, kerajaan juga akan tetap melaksanakan penilaian risiko dari segi kesediaan negeri-negeri untuk beralih ke fasa seterusnya.

“Saya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama. Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga, tidak akan patah balik ke fasa kedua.

“Ini kerana, pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back (strategi keluar dan tidak berpatah balik),” katanya.

PPN yang diumum 15 Jun lepas menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian SOP untuk setiap fasa dengan peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbangkan berdasarkan tiga indikator nilai ambang iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi.

Sejak dilancarkan, lapan negeri telah beralih ke Fasa Dua iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata sekiranya berlaku semula peningkatan kes di negeri-negeri ini, kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah sepertimana yang dilaksanakan kini.

“Walau bagaimanapun, manusia merancang, tetapi perancangan Allah jualah sebaik-baiknya,” katanya.

Menjelas lanjut, Perdana Menteri berkata peralihan fasa ke fasa ini melibatkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial secara beransur dan ia tidak mengikut jadual masa, sebaliknya berlandaskan pencapaian dalam mengurangkan tekanan kapasiti sistem kesihatan serta meningkatkan tahap perlindungan rakyat menerusi suntikan vaksin.

Menurutnya, pelan pemulihan seperti ini turut dilaksanakan oleh banyak negara antaranya United Kingdom, Australia dan Singapura.

“Kita belajar, meneliti dan mengambil amalan terbaik dari negara-negara tersebut supaya acuan Pelan PPN ini dapat dijadikan panduan penting dan sebagai asas kepada proses pemulihan negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata PPN dirangka berdasarkan lima ciri utama iaitu mengimbangi keperluan melindungi nyawa dan kehidupan; bersifat dinamik dan berlandaskan sains dan data; dan memberi penjelasan sebagai panduan bagi memperincikan perancangan serta menekankan aspek ketelusan.

Selain itu, PPN mengguna pakai pendekatan whole of nation melibatkan peranan segenap lapisan masyarakat dan sentiasa dipantau bagi menilai keberkesanan pelaksanaan melalui pelaporan dan strategi komunikasi yang berkesan.

“Ringkasnya, PPN adalah sebuah pelan pemulihan yang menumpukan kepada strategi untuk keluar dari ancaman COVID-19 secara selamat dan sistematik. Fasa-fasa yang digariskan adalah tertumpu kepada usaha meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi, dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.

“PPN tidaklah statik tetapi dinamik, komprehensif dan boleh ditambah baik mengikut keperluan dan situasi semasa,” kata Perdana Menteri. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.