Bantuan Keperluan Makanan Perlu Ikhlas Tanpa Mengira Kaum – Sultan Johor

JOHOR BAHRU, 26 Jul – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah bantuan keperluan makanan yang disediakan atas dasar membantu golongan memerlukan perlu dilakukan secara ikhlas dan tidak melibatkan soal perkauman.

Menurut baginda, ketika ini terdapat ramai individu tanpa mengira agama dan bangsa mengalami kesulitan seperti kehilangan pekerjaan dan terputus pendapatan, serta berdepan beban kewangan untuk membeli barangan keperluan makanan.

“Jika mahu membantu mereka yang dalam kesusahan, bantulah semua tanpa mengira kaum dan agama, lakukan secara ikhlas tanpa menimbulkan sebarang isu berkaitan perkauman,” titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi baginda, hari ini.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas satu rakaman video yang tular dalam media sosial semalam, berhubung bantuan keperluan makanan harian yang disediakan di sebuah kedai runcit di kawasan Skudai, Johor Bahru yang didakwa menimbulkan soal perkauman.

Video berdurasi dua minit sembilan saat berkaitan bantuan itu yang didakwa khusus untuk kaum tertentu, menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Sultan Johor sentiasa menegaskan betapa pentingnya hubungan antara kaum dan toleransi yang menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor.

Sementara itu, baginda turut meminta orang ramai mengambil contoh kurniaan bantuan makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) yang disampaikan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa di seluruh Johor setiap minggu.

“Niat kita adalah untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan, tidak perlu menimbulkan soal perkauman dalam bantuan yang dihulurkan,” titah baginda lagi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.