Perak Tidak Bercadang Laksana Fasa Tiga Ppn Di Mukim, Daerah Tertentu Di Zon Hijau

LARUT, 25 Julai – Kerajaan Negeri Perak tidak bercadang melaksanakan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mukim atau daerah tertentu, yang berada di kawasan zon hijau.

Menteri Besarnya Datuk Saarani Mohamad berkata sekiranya tindakan itu dilakukan, ia memberi kebebasan kepada orang ramai yang berada di zon merah, untuk keluar dan masuk ke kawasan zon hijau.

“Saya tidak fikir tindakan itu baik sebab negeri Perak ini luas dan kita tidak mahu berlakunya penularan jangkitan COVID-19, akibat daripada aktiviti pergerakan keluar dan masuk tersebut.

“Oleh itu, kita tidak berhasrat memberi kebebasan kepada satu daerah atau mukim di zon hijau, tetapi ada tempat-tempat lain masih dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan),” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pos Kawalan Tempat Kejadian di PKPD Kampung Tersusun Pondok Tanjung dan Kampung Binjai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada Perak berhasrat mengusulkan cadangan kepada kerajaan Persekutuan, untuk beralih kepada Fasa Tiga PPN mengikut daerah atau mukim yang berada dalam zon hijau bagi memberi lebih banyak aktiviti perniagaan di kawasan tersebut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.