29 Lokaliti Di Kelantan, Perak, Terengganu, Kedah Dan Sabah Dilaksanakan PKPD Mulai Selasa Ini

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Sebanyak 29 lokaliti di Kelantan, Perak, Terengganu, Kedah dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Selasa ini hingga 9 Ogos.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil setelah Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kesemua lokaliti berkenaan.

Beliau berkata di Kelantan, 14 lokaliti terlibat adalah di Daerah Pasir Puteh iaitu Pekan Selising, Kampung Selising, Kampung Tok Dir, Kampung Pak Omar, Kampung Bukit Bidang, Kampung Bukit Merbau, Kampung Berangan, Kampung Banggol Pak Esah, Kampung Alor Geliong, Kampung Banggol Jenereh, Kampung Kubang Sawa, Kampung Lubuk Kedondong, Kampung Chat dan Kampung Banggol Dollah.

Sementara itu, PKPD di Perak melibatkan empat kampung di Daerah Larut Matang dan Selama iaitu di Kampung Sungai Seputeh, Kampung Teluk Mas, Kampung Garok dan Kampung Tapah; di Terengganu melibatkan Kampung Teluk Menara, Mukim Manir, Kuala Terengganu dan di Kedah melibatkan Kampung Bukit Malut, Pulau Langkawi.

Ismail Sabri berkata PKPD di Sabah pula melibatkan Kampung Mananam, Tongod; Taman Semarak Megah, Tawau; Kampung Sangkabok, Menumbok; Ladang Belian, Kalabakan; Kampung Batandok dan Kampung Menanjung di Beaufort; Kampung Pelakat dan Kampung Pelakat Paya di Sipitang serta Kampung Sumaang di Ranau.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata PKPD di Kampung Gong Jering, Pasir Puteh, Kelantan yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga 9 Ogos.

Beliau berkata PKPD di Sabah membabitkan di Kampung Nahaba, Tegudon, Kota Belud; tiga lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Jalan Pasir Likas, Taman Kuala Menggatal dan Kuarters Tangki Air Biru, Telipok; Borneo Timber, Tongod; Kampung Tebongon, Putatan dan dua lokaliti di Beaufort iaitu Kampung Jempangah dan Kampung Rancangan Klias ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Bagi PKPD di Damai Apartment, PJS 8, Damansara, Petaling, Selangor pula ditamatkan hari ini iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 49 lagi premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Semalam juga, 482 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 457 individu dikompaun manakala 11 lagi direman dan 14 dijamin,” katanya dalam satu kenyataan perkembangan situasi Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Mengenai Op Benteng, seramai lapan pendatang tanpa izin ditahan dan dua kenderaan darat dirampas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.