Masa Untuk Bank Balas Budi… Bantu Rakyat Yang Susah, Terdesak – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa adalah masa untuk bank-bank membalas budi untuk bantu rakyat yang susah dan terdesak dalam keadaan berdepan krisis ekoran pandemik COVID-19.

Katanya, sewaktu bank-bank hadapi krisis kewangan, wang rakyat juga digunakan kerajaan untuk ‘bail-out’.

“Jangan lupa! Waktu bank-bank hadapi krisis kewangan sehingga hampir muflis/bankrup tahun 1997, Wang Rakyat juga digunakan kerajaan untuk ‘Bail-Out’, dengan cara memindahkan NPL (aset-aset bank yang bermasalah – non-performing loans) kepada Danaharta dan Danamodal.

“Sekarang bila rakyat pula susah, bank-bank pula patut berkorbanlah sedikit (bukan rugi pun; hanya kurang untung) untuk bantu rakyat yang susah dan terdesak dalam keadaan krisis yang amat luar biasa dan tak pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Dilaporkan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang dijadualkan hingga 14 Jun lalu disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun berikutan jumlah kes harian COVID-19 yang masih tinggi, namun sehingga kini kerajaan masih belum memberikan sebarang bantuan tunai kepada rakyat malah bank-bank dan institusi kewangan juga tidak mengumumkan sebarang bentuk kemudahan kepada rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.