Tidak Ada Krisis Perlembagaan Persekutuan Berlaku Ketika Ini – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bersetuju dengan pendapat yang disuarakan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim bahawa tidak ada krisis Perlembagaan Persekutuan berlaku ketika ini.

Katanya, ini kerana kuasa Perdana Menteri di bawah Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan telah diperturunkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat 2021.

“Ini bermakna Kabinet telah bersetuju memberikan kuasa kepada Seri Paduka Baginda untuk memanggil persidangan Parlimen tanpa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri seperti yang didakwa kononnya Artikel 40 masih berkuatkuasa.

“Bagi pendapat saya apabila Kabinet telah memberi kuasa kepada YDPA maka Artikel 40 tidak terguna pakai sehingga tamat darurat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor juga berkata seperti yang dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong juga sudah mendapat nasihat dari pelbagai pihak.

Jelas beliau, sekiranya artikel berkenaan masih berkuatkuasa sudah tentu Yang di-Pertuan Agong akan mengikut keputusan Perdana Menteri untuk mengadakan persidangan Parlimen dalam bulan September seperti yang dinyatakan dalam pelan pemulihan yang diumumkan sehari sebelum Raja-raja bersidang.

“Saya masih ingat waktu krisis perletakan jawatan Tun Dr Mahathir, Seri Paduka Baginda telah memanggil semua ahli Parlimen menghadap untuk Al-Sultan Abdullah mengetahui ahli Dewan Rakyat mana yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Setelah semua 222 Ahli Parlimen dipanggil akhirnya tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat mendapat majoriti. Sepatutnya pada ketika itu Seri Paduka Baginda boleh membubarkan dewan rakyat, tetapi Al-Sultan Abdullah merujuk kepada Raja-raja yang akhirnya menasihatkan untuk menubuhkan kerajaan baru.

“Maka lahirlah kerajaan Perikatan Nasional. Mengapa ketika masa itu kita boleh akur dan menjunjung titah Seri Paduka Baginda?” soal beliau.

Tambah Noh, begitu juga apabila Yang di-Pertuan Agong pernah menolak pandangan jemaah menteri untuk melaksanakan darurat pada tahun lalu namun pada masa itu tidak timbul isu krisis Perlembagaan.

“Saya sebagai ahli Parlimen berpendirian Parlimen boleh bersidang walaupun dalam waktu darurat dan jika ada usul undi tidak percaya terhadap kerajaan hari ini sudah tentu saya tidak akan menyokongnya.

“Parlimen haruslah bersidang bukan kerana kepentingan politik tetapi atas kepentingan rakyat dalam membantu kerajaan menyelamatkan negara dari serangan musuh yang kita tidak nampak COVID-19 dan krisis ekonomi.

“Oleh itu, saya sebagai peguam bagi saya undang-undang ini adalah perkara pentafsiran dan saya bersetuju dengan tafsiran Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim yang merupakan seorang tokoh politik yang berpengalaman dan mempunyai ijazah kedoktoran PHD dalam bidang perundangan,” tegas beliau.

Noh juga turut mengucapkan tahniah ke atas ketegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang membuat keputusan mendesak kerajaan mengadakan persidangan Parlimen dalam tempoh 14 hari yang jelas membuktikan UMNO sentiasa menjunjung dan mempertahankan kedaulatan Raja-raja. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.