Notis Pembukaan Parlimen 28 Hari Bukan Penghalang Dewan Rakyat Bersidang – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor yang terdiri daripada 21 ketua bahagian dan ketua-ketua sayap telah bersetuju sebulat suara menyokong penuh kenyataan media Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar persidangan Parlimen diadakan 14 hari dari tarikh hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata kenyataan Presiden hasil daripada keputusan Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia malam tadi yang dibuat secara maya adalah sejajar dengan perjuangan parti untuk menegakkan kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti dibawah perkara 3.2 Perlembagaan UMNO.

“UMNO Selangor mendesak supaya persidangan Parlimen hendaklah diadakan 14 hari demi untuk membolehkan Ordinan -Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 di negara ini dan memulihkan ekonomi negara.

“Soal isu notis 28 hari di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, di mana Setiausaha Dewan hendaklah memanggil persidangan Dewan yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu sebenarnya bukan satu penghalang untuk dewan bersidang dalam tempoh 14 hari.

“Seperti dalam Peraturan 9(2)(a) iaitu ‘sekurang-kurangnya 28 hari sebelum dimulakan mesyuarat setiap penggal parlimen, menulis kepada ahli-ahli memberitahu tarikh-tarikh mesyuarat Majlis Mesyuarat bagi penggal itu,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata ianya perlulah dibaca hingga habis dimana ‘Dengan syarat bahawa dalam keadaan memaksa yang ditentukan Tuan Yang di-Pertua, pemberitahuan tersebut boleh diketepikan, dan dalam keadaan demikian pemberitahuan bagi sepanjang tempoh yang mungkin hendak diberikan’.

“Begitu juga dengan Peraturan 11(2) ‘Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bersidang atau bermesyuarat dalam penggal itu. Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari masa ke semasa,” jelas beliau.

Tambah Noh, ini jelas menunjukan isu notis 28 hari yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu bukanlah penghalang untuk Dewan Rakyat bersidang dalam tempoh 14 hari.

“Saya ulangi sekali lagi sebagai ahli Parlimen tunggal Barisan Nasional dari Selangor, saya tidak akan bersetuju jika ada usul undi tidak percaya dikemukakan semasa Parlimen ini bersidang,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.