Buka Parlimen Untuk Apa: Kuasa Atau Rakyat? – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini memberikan lima sebab utama untuk kerajaan menyegerakan pembukaan sidang Parlimen.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keadaan ini juga selari seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Berikut merupakan hantaran penuh Asyraf yang dikongsikan beliau menerusi Facebook:

Buka Parlimen untuk apa: Kuasa atau rakyat?

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah sudah bertitah agar Parlimen ‘segera’ dan ‘secepat mungkin’ bersidang dengan mandat spesifik untuk bahas mengenai kesulitan rakyat.

Apa Maknanya?

1. Buka Parlimen untuk bahas peruntukan kerajaan – tambahan bantuan tunai untuk rakyat yang sedang tenat dan tertekan akibat hilang punca pendapatan sepanjang PKP ‘lockdown’ ini!

2. Buka Parlimen untuk bahas tuntutan rakyat – moratorium automatik secara pukal tanpa caj atau faedah tambahan, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0, diskaun bil-bil utiliti yang naik mendadak akibat berpanjangan duduk rumah dan work from home.

3. Buka Parlimen untuk wujud akauntabiliti – soalan-soalan rasmi yang wajib dijawab mengenai proses vaksinisasi, kontrak-kontrak vaksin, pusat vaksinasi siapa yang dapat? Macam mana kerajaan belanja RM600 bilion dan menambah hutang RM130 bilion untuk 2021 sahaja?

4. Buka Parlimen untuk wujud check and balance semak dan imbang dalam aspek pengurusan pandemik COVID-19. Contohnya apakah wujud karenah birokrasi dalam operasi vaksinasi sehingga Pertubuhan Pengamal Perubatan Malaysia sendiri mempertikai keberkesanan program vaksinasi lantaran tidak dimanfaatkan 1,500 hospital swasta dan lebih 6,000 klinik swasta seluruh Malaysia.

5. Buka Parlimen untuk bahas Ordinan Darurat sama ada wujud peruntukan yang tidak wajar sehingga boleh membawa kepada pilih kasih dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), hukuman, pengurusan dan pentadbiran COVID-19.

Justeru, buka Parlimen bukan untuk buat usul undi tak percaya. lagipun kerajaan masih ada Speaker Dewan yang berpihak kepada mereka yang boleh mengenepikan usul tersebut. Jadi usah takut dengan bayang-bayang! – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.