Jangan Lupa Sektor Sokongan Persekolahan, Bantu Pengendali Kantin Sekolah – Mohamad

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap agar kerajaan tidak melupakan sektor sokongan persekolahan iaitu pengusaha kantin yang hari ini terbeban sepertimana pelbagai lapisan rakyat lain.

Beliau seterusnya berpandangan dalam usaha kerajaan melaksanakan vaksinasi kepada pelajar sekolah khususnya yang akan menghadapi peperiksaan umum, sektor tersebut juga perlu diberikan perhatian.

“Sektor persekolahan akan terus di tutup sehinggalah fasa pemulihan bermula. Keputusan Kerajaan untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas untuk divaksinasi sangat dialu-alukan.

“Begitu juga keputusan untuk mengutamakan pelajar yang akan menduduki peperiksaan umum divaksinasi segera. Semua ini akan mempercepatkan pembukaan sektor persekolahan dan memulihkan sistem pembelajaran dan pengajaran.

“Sementara menunggu semua intervensi tersebut berlaku, janganlah kita lupa kepada sektor sokongan seperti pengusaha kantin sekolah. Lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara sangat terjejas dengan penutupan sekolah,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Justeru beliau antara lain mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia wajar mengecualikan semua sewa premis kantin sekolah sehingga sektor persekolahan benar-benar telah pulih.

Tambahnya lanjutan kontrak semua pengendali kantin sekolah juga, wajar dilanjutkan selama dua tahun lagi, bagi menampung kehilangan peluang dan pendapatan selama hampir dua tahun kerana penutupan sektor persekolahan.

“Pada saat sebegini, apa juga tindakan yang dapat mengurangkan beban rakyat mesti menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.