Titah Agong Persidangan Parlimen Secepat Mungkin… Maka Secepat Mungkin Perlu Diadakan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin, maka secepat mungkin ia perlu diadakan.

Ujarnya, benar bahawa tafsiran ‘secepat mungkin’ bersifat subjektif, namun bukankah masih ada aspek-aspek untuk mentafsirkannya.

“Dalam hal persidangan Parlimen ia adalah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan sama ada secara fizikal mahupun maya.

“Maka titah Parlimen perlu bersidang ‘secepat mungkin’ tidaklah sepatutnya ditafsirkan dalam tempoh beberapa bulan.

“Tafsiran itu seolah-olah menyanggah elemen kebijaksanaan, keprihatinan dan kecaknaan dalam titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” katanya berkaitan hal terbabit yang dinyatakan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dua hari lalu telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Tegas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), tafsiran ‘secepat mungkin’ bergantung kepada keadaan atau sesuatu perkara malah ini ‘common sense’ yang murid sekolah pun tahu.

“Sebagai contoh guru ketika mengajar mengarahkan murid membuka buku teks secepat mungkin, maka tempoh beberapa saat adalah ‘secepat mungkin.

“Jika guru meminta murid menyiapkan kerja rumah secepat mungkin, maka tempoh beberapa hari adalah ‘secepat mungkin’.”

Secara umum jelasnya, jika sesuatu itu mudah dilakukan, maka tempoh beberapa saat, minit atau jam atau hari adalah ‘secepat mungkin’.

“Jika sesuatu yang sukar maka tempoh beberapa minggu, bulan atau tahun mungkin ditafsirkan sebagai ‘secepat mungkin’,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.