Titah Agong Bukti Keprihatinan, Negara Perlukan Proses Semak Dan Imbang – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat negara berada di situasi yang kritikal untuk diuruskan tanpa mengabaikan proses semak dan imbang.

Katanya, dengan titah oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam beliau melahirkan rasa setuju dan menyokong penuh keputusan tersebut.

“Demokrasi tidak boleh ditewaskan kerana suatu pandemik. Malah demokrasi lah yang harus dimanfaatkan untuk memenangi pembasmian wabak ini.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan semua DYMM Raja-Raja Melayu atas keprihatinan yang ditunjukkan serta keputusan tegas yang dicapai.

“Semoga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Kabinet kerajaan mengambil serius perkara ini dan menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan segara,” jelas beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Pandangan itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah selepas berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang dilaksanakan semalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.