Persidangan Parlimen: Pemuda BN Beri Empat Fokus Utama Bantuan Keperluan Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan beberapa fokus utama yang boleh dibawa oleh ahli Parlimen BN semasa menghadiri persidangan Parlimen nanti.

Katanya, isu tersebut adalah lebih kepada aspek membantu rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

“Mewakili Pemuda BN/UMNO, saya sudah suarakan kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, untuk ahli-ahli Parlimen BN fokus 4 isu utama apabila Parlimen bersidang:

1. Moratorium automatik tanpa caj/faedah tambahan secara pukal termasuk buat M40, B40 dan Perniagaan Kecil Sederhana.

2. Tambahan bantuan khas kepada rakyat yang terkesan akibat PKP.

3. i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0

4. Intervensi/diskaun ke atas pembayaran asas seperti bil internet, bil eletrik dan pembelian keperluan asas serta barangan makanan mereka yang terpaksa kekal di rumah akibat PKP berpanjangan.

“Justeru, kerajaan harus akur dengan titah saranan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan DYMM Raja-Raja Melayu agar Parlimen segera bersidang demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sedang kesempitan!” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Pandangan itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah selepas berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.