Peniaga Berdepan Kemelut Kewangan, Moratorium Automatik Mampu Kurangkan Beban – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa simpati beliau dengan nasib perniaga yang berdepan dengan kemelut kewangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, permintaan para pemimpin UMNO sebelum ini yang bertindak mendesak kerajaan untuk memberikan moratorium secara automatik adalah semata-mata untuk golongan yang terkesan akibat pandemik ini.

“Berita ini lagi bukti saya bukan saja-saja gesa kerajaan arah bank berikan moratorium automatik. Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia turut meminta perkara sama.

“Peniaga dikatakan berdepan kesukaran menjana pendapatan walau dibenar beroperasi. Walaupun di sebalik kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) atau lebih tepat disebalik pelaksanaan ‘total lockdown’ suam-suam kuku.

“Persatuan minta kerajaan beri moratorium selama setahun kepada peniaga yang terkesan. Keadaan ekonomi dikatakan bergerak perlahan disebabkan kurang permintaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional itu lagi, peniaga dijangka akan mengambil masa lima tahun untuk bangkit semula daripada kesan COVID-19.

“Bertabahlah para peniaga sekalian, teruskan bersuara walaupun setakat ini masih kurang dipeduli. Kita sama-sama ‘keep on fighting’ untuk moratorium automatik buat semua.

“Bukan saja peniaga dan penjaja, golongan pekerja juga amat memerlukan bantuan itu,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.