Parlimen Wajar Dibuka Awal Julai, Beri Peluang Ahli Parlimen Bawa Hujah Bernas Tangani COVID-19 – Noor Hariri

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin membuktikan bahawa fungsi institusi itu adalah amat penting, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor.

Jelas Hariri, beliau juga turut merafak sembah setinggi-tingginya dengan kebijaksanaan pandangan kesemua Raja-Raja Melayu yang tentunya meletakkan kepentingan rakyat melebihi segala-galanya.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa fungsi Parlimen adalah amat penting bagi membolehkan suara rakyat didengari untuk tindakan kerajaan.

“Sebarang usaha daripada pihak kerajaan untuk menggagalkan dan membuat seribu macam helah bagi melengah-lengahkan persidangan Parlimen ini layaklah digelar penderhaka besar kerana melanggari titah dan pendapat Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau lagi, dengan mengambil kira situasi kerajaan yang seolah-olah hilang arah dan kekurangan idea yang baik, Hariri mencadangkan untuk Parlimen bersidang seawal bulan Julai 2021 ini.

“Ianya bagi memberi peluang untuk ahli-ahli Parlimen memberi pendapat mereka yang segar lagi bernas untuk penyelesaian mengawal wabak COVID-19 ini dengan berkesan seterusnya berjaya menjaga kebajikan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online