Moratorium Dikenakan Kadar Faedah, Apa Fungsi Dilaksanakan Darurat Sekiranya Tidak Membantu Rakyat? – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap kerajaan dapat memanfaatkan Ordinan Darurat agar institusi perbankan dapat memberikan moratorium tanpa mengenakan caj tambahan kepada para pelanggan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya menerima pelbagai aduan yang menyatakan mereka dikenakan kadar faedah daripada bank-bank konvensional.

“Hari ini sahaja kami menerima hampir seratus mesej aduan dan maklum balas orang ramai yang mengadu banyak institusi kewangan dan bank-bank yang mengenakan caj tambahan atau faedah daripada bank konvensional atas moratorium atau penangguhan bayaran bulanan yang diluluskan.

“Kami Pemuda UMNO berulang kali merayu kepada pihak kerajaan khususnya menteri kewangan agar memanfaatkan Ordinan Darurat yang masih berbaki sebulan lebih ini untuk mengarahkan bank-bank agar tidak mengenakan sebarang caj atau faedah tambahan atas moratorium yang ditawarkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau, adalah menjadi sia-sia sekiranya pengisytiharan darurat selama ini jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya membantu rakyat yang kesusahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.