Masalah Kesihatan Mental Membimbangkan, Kehidupan Rakyat Kian Tertekan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan penularan sebuah video yang memaparkan cubaan seorang lelaki yang bertindak mahu membunuh diri dengan terjun dari sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menurut laporan media, siasatan awal pihak polis mendapati mangsa yang berasal dari Ipoh bertindak demikian kerana tekanan emosi.

“Kita pernah dimaklumkan 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021 membabitkan kesihatan mental.

“Antara punca dikenal pasti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma dan kurang akses kepada perkhidmatan bantuan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi data Kementerian Kesihatan juga menunjukkan sejak Januari 2020 lebih 1,000 kes cubaan bunuh diri dilaporkan menerima rawatan.

“Maka apa lagi bukti ‘data dan sains’ diperlukan untuk mengesahkan bahawa kehidupan sebahagian rakyat sedang berada dalam keadaan tekanan yang luar biasa.

“Kehidupan yang tertekan di sebalik pengumuman demi pengumuman oleh kerajaan Perikatan Nasional bahawa ekonomi Malaysia dalam keadaan baik dan rakyat dapat bantuan sewajarnya.

“Sila semak semula angka dan statistik berkaitan jika mahu mengetahui sama ada rakyat telah benar-benar dibantu secukupnya bagi mengharungi ancaman pandemik COVID-19,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.