Kerajaan Perlu Letakkan Keutamaan Rakyat Di Hadapan, Fokus Berdepan COVID-19 – Armand Azha

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Melihat kepada situasi negara pada hari ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat meletakkan keutamaan kebajikan rakyat di hadapan.

Jelas beliau, keutamaannya adalah kerajaan harus lebih fokus kepada usaha menangani situasi pandemik COVID-19.

“Jika kita kaji dan nilai UMNO begitu konsisten meminta kerajaan tambahkan bantuan kepada rakyat yang tertekan dalam situasi terkini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

“Mencadangkan moratorium automatik secara pukal, i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 terus diberikan demi kepentingan kebajikan rakyat seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata UMNO tidak pernah mendesak kerajaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam keadaan rakyat yang berdepan kesusahan dan gelisah berdepan pandemik ini.

“Kerana kepimpinan parti yang bertanggungjawab dan sentiasa berjuang untuk memastikan kebajikan rakyat senantiasa didahulukan.

“Saya mohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan cadangan-cadangan UMNO demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Armand turut menjunjung kasih dan menyokong penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menzahirkan pandangan dengan kebijaksanaan.

“Keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini

“UMNO Bahagian Subang juga ingin mengucapkan jutaan kesyukuran kepada Allah SWT atas titah Seri Paduka Baginda serta Majlis Raja-Raja Melayu yang telah bersidang semalam yang telah meletakan keutamaan negara serta rakyat dihadapan juga terus minta demokrasi negara terus dijaga dan dihormati.

“Sama-sama kita bina kembali negara kita dan kita pastikan keluarga kita mendaftarkan diri mereka bagi program vaksinasi negara demi masa hadapan negara kita, kita jaga kita,” ulas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.