Abdul Rahman Cadang Ahli Parlimen Bawa RUU Persendirian, Fokuskan Bantuan Kepada Rakyat Dan Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mencadangkan agar mana-mana ahli Parlimen biasa dibolehkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian atau Private Member’s Bill dalam sidang Parlimen yang bakal diadakan nanti.

Katanya, ahli Parlimen tersebut boleh mengusulkan RUU mengenai bantuan kerajaan yang perlu diberi kepada rakyat termasuk moratorium pukal dan skop Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih berkesan.

“Alhamdullilah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah menitahkan agar Parlimen dibuka dan darurat tidak dipanjangkan selepas 1 Ogos 2021.

“RUU Persendirian ini juga mesti menyentuh mengenai pemulihan ekonomi negara termasuk bagaimana memulihkan iklim pelaburan negara dan mengembalikan keyakinan komuniti peniaga domestik.

“Ahli Parlimen tersebut boleh merujuk kepada pakar ekonomi, para akademik, pakar kesihatan dan pakar undang-undang untuk memastikan fakta dan kesahihan perundangan dalam proses menyediakan RUU tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Abdul Rahman lagi sekiranya ianya diluluskan oleh Parlimen, kerajaan akan terikat untuk membantu rakyat dan untuk menyelamatkan ekonomi negara seperti yang terkandung dalam RUU tersebut.

“Kalau kerajaan tidak membenarkan RUU Persendirian ahli Parlimen dinaikkan dalam susunan aturan mesyuarat (agenda harian mesyuarat parlimen) dan seterusnya tidak membolehkan RUU Persendirian itu dibahas, rakyat akan menilai keikhlasan kerajaan.

“Soal lulus atau gagal RUU tersebut biarlah ahli-ahli Parlimen yang menentukan supaya rakyat dapat menilai siapa yang sokong dan siapa yang tidak sokong terutamanya jika idea-idea dalam RUU itu bernas dan praktikal.

“Ini adalah satu lagi norma baharu yang menarik dalam parlimen Malaysia. Kita berharap lebih banyak pendemokrasian parlimen dan kerjasama antara parti politik di masa akan datang dalam sidang Parlimen,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.