Pelan Pemulihan Negara: Pemuda BN/UMNO Cadang 10 Perkara Tambahan Jadi Harapan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang diyakini akan dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun ini.

Berhubung hal ini, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberikan
10 cadangan tambahan berasaskan harapan rakyat merujuk kepada Pelan Pemulihan Negara Menangani COVID-19.

“Pemuda BN/UMNO ingin mencadangkan 10 perkara tambahan yang menjadi harapan rakyat dan wajar diberikan perhatian,” ujarnya menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman facebooknya.

Katanya, Pemuda BN/UMNO mengharapkan agar 10 cadangan ini diberikan pertimbangan sewajarnya kerana semuanya berpandukan kepada suara hati dan harapan besar rakyat bawahan yang sedang resah dan gelisah menghadapi pandemik COVID-19 ketika ini

Berikut ialah 10 cadangan terbabit:

(1) Bantuan dan kemudahan bersasar pada setiap peringkat fasa pemulihan amat diperlukan kerana ada sektor ekonomi yang hanya bakal dibuka pada bulan Oktober yang pastinya memberi kesan langsung terhadap operasi dan aliran tunai mereka yang terlibat.

(2) Bantuan bersasar seperti insentif gaji, bantuan tunai dan suntikan modal kepada industri yang bakal terkesan akibat penutupan mengikut fasa pemulihan seperti sektor pelancongan yang masih diarah tutup pada Fasa 3.

(3) Bantuan tunai tambahan juga diperlukan memandangkan penambahan tempoh sekatan pergerakan yang pastinya memberi kesan langsung kepada mereka yang tiada pendapatan tetap dan bergantung kepada pendapatan harian atau bekerja sendiri.

(4) Bantuan khas juga perlu diberikan kepada 4.5 juta rakyat yang bekerja dalam sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai simpanan tunai hanya cukup untuk 2 bulan sahaja ketika PKP kali pertama dibuat.

(5) Mengarahkan Bank dan institusi kewangan, pinjaman berlesen memberikan Moratorium secara automatik tanpa caj atau faedah tambahan kepada semua golongan termasuk B40 dan M40 wajib diberikan perhatian serius.

(6) Membenarkan rakyat mengeluarkan duit mereka di KWSP melalui i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0.

(7) Pendekatan ‘TOTAL LOCKDOWN’ yang benar-benar menyeluruh bukannya separa masak atas nama ‘ESSENTIAL’ atau perkhidmatan berkeperluan hingga menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 yang berpanjangan.
Memandangkan rakyat Malaysia, khususnya yang sedang berkerja disaran untuk berada di rumah perlu ada intervensi/diskaun ke atas pembayaran asas seperti bil internet, bil eletrik dan pembelian peralatan asas serta barangan makanan untuk melaksanakan Bekerja Dari Rumah atau ‘Work From Home’ (WFH) dengan lebih berkesan.

(9) Parlimen wajar dibenarkan bersidang segera dan tidak perlu tunggu sehingga mencapai fasa imuniti berkelompok sedangkan semua Ahli Parlimen telah pun divaksin.

(10) Tamatkan SEGERA Darurat yang ternyata tidak membantu mengurangkan kes Covid-19 kepada dua angka malah lebih banyak memudaratkan negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.