PdPR Jangan Diambil Mudah, Ahmad Zahid Persoal Sampai Bila Isu Capaian Internet Berterusan

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan sampai bilakah isu berkaitan masalah capaian internet bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan berterusan.

Ini kerana katanya hal tersebut masih dialami sebahagian murid dan pelajar sekolah.

“Sampai bilakah isu ini akan berterusan? Seolah-olah kita tidak pernah belajar daripada pengalaman. Sudah beberapa kali PdPR dilaksanakan, namun masalah sama berlaku,” katanya melalui hantaran dalam laman facebooknya, hari ini.

Ujarnya yang juga Pengerusi BN, hal ini jangan diambil mudah kerana ia melibatkan hak anak-anak untuk mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti.

“Begitu juga dalam hal peranti. Masih ada pelajar dan murid sekolah dikatakan tidak memiliki peranti yang sesuai untuk tujuan PdPR.

“Kena ingat PdPR akan diteruskan sehingga cuti persekolahan berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal bermula pada 16 dan 17 Julai 2021.

“Walaupun PdPR dijangka cuma 25 hari, banyak pelajaran boleh tercicir dalam tempoh tersebut. Kita berharap permasalahan ini dapat ditangani segera.”

Ujarnya lagi, pada syarikat-syarikat telekomunikasi, sila ambil berat dan perhatian permasalahan capaian internet di kawasan-kawasan pendalaman yang amat teruk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.