Menjunjung Kasih Titah Tuanku, Moga Kerajaan Segera Bertindak – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini yang menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

UjarAhmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian, Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen dan jika tiada sidang Parlimen, maka demokrasi pincang.

“Maka perbetulkanlah. Kami telah secara berterusan meminta agar Parlimen dibuka sejak Januari 2021.

“Moga Kerajaan akan segera bertindak,” katanya dalam ciapan di Twitternya berkaitan hal terbabit.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan pandangan setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari agensi kerajaan yang antara lain menekankan perlunya ada pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Pandangan itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah selepas berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.