Agong Zahir Pandangan Persidangan Parlimen Diadakan Secepat Mungkin, Kerajaan Perlu Mudahkan Birokrasi

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan pandangan tersebut setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari agensi kerajaan.

Seri Paduka turut menzahirkan pandangan bahawa perlu ada pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya ‘jalan keluar’ bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pandangan itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah selepas berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini.

“Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19. Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.

“Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang juga mencerminkan keprihatinan tinggi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah dalam usaha-usaha memerangi penularan wabak COVID-19 di negara ini.”

Dalam masa yang sama, maklum Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – UMNO Online

GDE Error: Error retrieving file - if necessary turn off error checking (404:Not Found)