Baiki Negara: Kerajaan Perlu Utamakan Rakyat Atasi Pandemik, Masalah Ekonomi – Adnan Seman

KUALA LUMPUR: 11 Jun – Dua perkara yang mesti menjadi keutamaan kerajaan dan perlu selesaikan ialah pandemik wabak COVID-19 dan juga masalah ekonomi.

Sehubungan itu, Pengamal Undang-Undang Datuk Adnan Seman menekankan bahawa kerajaan perlu mengunakan kuasa Ordinan Darurat yang telah mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan apa-apa juga perkara demi menyelesaikan masalah ekonomi dan ketenteraman awam hari ini.

“Pandemik ini telah bermula tahun lepas iaitu pada tahun 2020 dan ada PKP yang pertama kali dilaksanakan tapi ada juga bantuan dari kerajaan selain moratorium dan lain-lain.

“Maka apabila adanya darurat pada tahun 2021 ini, ramai pihak termasuk rakyat sendiri mahu melihat bahawa darurat ini berbeza dengan tindakan kerajaan pada tahun 2020… kalau tidak kenapa darurat dilaksanakan?” katanya.

Ujarnya, sejak Januri 2021 sehingga ke hari ini iaitu sejak Ordinan Darurat dilaksanakan, tidak nampak bahawa ia benar-benar dimanfaatkan atau mengubah keadaan dalam konteks yang memberi kesan.

“Apabila ada Ordinan Darurat ini maka sebenarnya sudah ada kuasa yang sangat besar kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri misalnya menggunakan sepenuhnya fasiliti dalam negara sama ada hospital sekalipun hospital swasta atau apa-apa saja, juga bank-bank misalnya demi untuk tiga sebab utama.

“Tiga perkara tersebut ialah keselamatan rakyat, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam… maka inilah kandungan utama Ordinan Darurat. Tindakan perlu diambil untuk keutamaan ketiga-tiga perkara ini. Namun sejak darurat dilaksanakan, tindakan yang diambil juga terlalu perlahan pergerakannya.”


Beliau berkata demikian menerusi segmen ‘Jomlah Kita Sembang Sambil Ngopi’ dengan tajuk ‘Baiki Negara: Apa yang Tidak Kena’ yang disiarkan secara langsung malam tadi menerusi laman facebook UMNO Online.

Jelas Adnan, dalam membuat keputusan kerajaan tak semestinya buat sesuatu yang bersifat popular tapi apa-apa keputusan mestilah dibuat demi menjamin masa depan rakyat.

“Sebab itulah kalau perlu ‘lockdown’ maka dari awal buatlah kerana apa-apa pun keputusan adalah demi nyawa dan keselamatan rakyat. Ini kerana nyawa bukan pertaruhan dan adalah satu kerugian apabila ada mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga yang mereka sayang ekoran dari kelemahan-kelemahan yang wujud.

“Mungkin yang meninggal itu bukan ahli keluarga menteri atau ada hubungan apa-apa dengan kita tapi kita juga harus tahu bahawa mereka yang meninggal itu ada ahli keluarga.

“Kita mungkin boleh berbalah, bergaduh tapi sebagai rakyat kita tak ada pilihan selain harus menyokong apa-apa juga yang kerajaan lakukan atas nama rakyat. Kita mengharapkan kerajaan tegas, suka atau tidak suka maka kita mengharapkan kerajaan sedia ada hari ini untuk ambil satu langkah yang tepat atau yang drastik untuk pastikan keselamatan rakyat.”

Lantaran itu katanya, kerajaan harus utamakan rakyat kerana rakyat tidak ada tempat untuk bergantung selain dari bantuan dan sokongan kerajaan.

“… maka kita merayu kerajaan yang ada ini untuk lakukan tindakan yang tepat. Selamatkanlah nyawa rakyat dan berikanlah apa sahaja bantuan kepada rakyat dari segi ekonomi untuk pastikan rakyat boleh survive… bukan hanya atas sebab pandemik kerana boleh juga rakyat mati kerana kelaparan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.