Kawal Harga Minyak Masak Dalam Botol, Barang Bersubsidi Dan Barang Kawalan Dua Perkara Berbeza – Jalaluddin

JELEBU, 8 Jun – Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias mengulangi saranan agar pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga minyak masak di dalam botol walaupun ia bukan barangan bersubsidi.

Tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, kementerian perlu segera melakukan pemantauan dan penguatkuasaan secara serius.

“Jika tidak ada mana-mana pihak yang dikenakan tindakan atas kesalahan menaikkan harga barang sesuka hati, sebab itu semua pihak berani untuk buat kesalahan yang sama. Jika sewaktu musim perayaan pihak kementerian boleh melakukan pemantauan secara serius, mengapa tidak ketika musim pandemik ini?

“Saya tidak rasa rakyat boleh terima jika jawapan “kerajaan tidak dapat mengawal” itu diberikan oleh YB (Yang Berhormat) Timbalan Menteri. Tolong dengar keluhan rakyat, jangan sampai satu tahap rakyat pula tidak mahu dengar ‘keluhan’ kerajaan nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Jalaluddin memberi respon demikian merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid pada Isnin yang berkata bahawa KPDNHEP memberi jaminan bekalan minyak masak bersubsidi masih cukup dan menafikan berlaku kenaikan harga bahan keperluan itu dan kenyataannya itu juga telah dikeluarkan oleh pelbagai media.

Begitu juga mengenai kenyataan KPDNHEP dalam laman rasmi Facebooknya pada pagi tadi ada menjelaskan berkenaan dengan perkara yang berlaku dan alasan yang diberikan adalah minyak masak dalam botol bagi 5 kilogram (kg) bukan minyak masak bersubsidi dan kerajaan tidak kawal harga minyak masak ini.

“Saya rasa mungkin pihak YB Timbalan Menteri dan pihak KPDNHEP ada sedikit keliru dengan isu yang menjadi rintihan rakyat ketika ini. Isu pokoknya adalah kenaikan harga minyak masak dalam botol, bukan isu ketidakcukupan bekalan minyak masak subsidi dalam peket 1 kg.

“Jangan kaitkan soal minyak masak bersubsidi ini dengan golongan B40. Ketika ini bukan B40 sahaja terkesan, M40 juga terkesan dan perlu kita bantu,” gesanya lagi.

Tambah Jalaluddin lagi, jika Timbalan Menteri terlepas pandang, barang bersubsidi dan barang kawalan adalah dua perkara yang berbeza.

“Ya, betul minyak masak dalam botol itu bukan barang bersubsidi, tapi minyak masak itu sendiri adalah barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Senarai barang kawalan ini jelas dipaparkan di dalam laman web KPDNHEP sendiri.

“Adakah pihak kementerian boleh memberi jaminan minyak paket bersubsidi 1 kg ini akan mudah dan sentiasa ada di kedai dan boleh dibeli oleh pengguna? Sedangkan banyak kedai-kedai yang menghadkan pembelian minyak paket ini, dan minyak paket ini realitinya tidak akan sentiasa boleh didapati di kedai-kedai terutamanya kedai kampung,” katanya.

Justeru Jalaluddin berpandangan tidak patut Timbalan Menteri mengeluarkan kenyataan begitu, ianya seolah-olah menidakkan keluhan yang dilalui oleh rakyat pada ketika ini.

“Kenaikan harga minyak mentah dunia tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk memberikan lampu hijau kepada kapitalis untuk menaikkan harga minyak sesuka hati sehingga membebankan pengguna.

“Minyak masak ini adalah antara bahan asas dalam pembuatan makanan, dan pastinya kenaikan harga minyak masak ini jika tidak dikawal, ianya akan memberikan kesan domino kepada rantaian harga untuk perkara yang lain.

“Minyak naik, harga makanan naik, harga makanan naik, harga lain nanti semua akan pakat-pakat naik selagimana ianya termasuk dalam rantaian ekonomi ini,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.