‘Tiada Istilah Jaga Nama, Imej Jika Libatkan Buli’ – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, tiada istilah untuk melindungi nama atau imej institusi sekiranya berlaku kes yang melibatkan keselamatan dan kebajikan pelajar.
Menurut beliau, orang ramai termasuk ibu bapa dan pelajar tidak perlu bimbang untuk menyalurkan maklumat berkaitan salah laku, buli atau jenayah seksual berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta Institusi Pendidikan Mara (IPMA).
“Usah risau berkongsi apa sahaja kes salah laku, buli apatah lagi jenayah seksual terkait MRSM atau mana-mana IPMA di media sosial. Tiada istilah nak jaga nama, imej.
“Setiap laporan saya anggap serius dan wajib disiasat, diambil tindakan segera,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Menurut Asyraf Wajdi, ketika mula dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 2023, banyak aduan berkaitan perlakuan buli di MRSM dan beberapa IPMA diterima melalui pelbagai platform media sosial termasuk Facebook, Instagram serta TikTok.
Kongsi beliau, perkara itu mendorong beliau melaksanakan lawatan mengejut menerusi pendekatan #Terjah tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan.
“Peringkat awal, wujud kecenderungan untuk menutup atau menyorok kes-kes buli, malah ada yang meremehkan perbuatan buli bagaikan norma biasa kehidupan asrama.
“Sebagai orang yang pernah berada di asrama, budaya seperti ini wajib dihentikan dan tidak boleh dikompromi,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau berkata, Mara mengambil langkah tegas termasuk memperkenalkan slogan #youtouchyougo bagi memastikan tindakan segera dikenakan terhadap pelaku.
“Bahkan setiap aduan ibu bapa mahupun pelajar kepada saya di media sosial, pengurusan Mara diarahkan menyiasat dan mengambil tindakan segera serta tegas,” kongsinya.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pentadbir MRSM atau IPMA yang cuba menyembunyikan kes berkaitan.
“Apabila kami mengenal pasti punca-punca utama menularnya budaya buli, itu yang mendorong Mara memulakan langkah memperkenalkan projek rintis Warden Sepenuh Masa dalam kalangan bekas tentera,” tambahnya. – SH Online
