Kewujudan Parti Politik Baharu Jangan Pecah Belahkan Orang Melayu – Ahmad Zahid
JOHOR BAHRU, 14 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan penubuhan parti politik Melayu yang baharu tetapi berharap ia tidak akan memecahbelahkan kaum itu.
Presiden UMNO itu berkata, mana-mana individu atau tokoh politik dialu-alukan untuk menubuhkan parti politik baharu dengan syarat dapat menyatupadukan pemikiran orang Melayu.
“Kita mengalu-alukan mana-mana individu atau tokoh dengan syarat kita satukan pemikiran kita dan jangan terus berpecah-belah sesama kita.
“Apapun wadah yang digunakan apabila akhirnya kita dapat menyatukan tindakan kita atas agenda negara, agenda Islam dan agenda anak bangsa kita, insya-Allah.
“Dokongan akan dapat kita berikan kerana kita juga telah bersama-sama untuk bertemu dalam wacana ataupun perbincangan melalui kolaborasi nasional yang telah kita adakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perbezaan pemikiran diharap dapat diterjemah dalam bentuk agenda nasional, agenda Islam dan agenda anak bangsa dengan tidak mengenepikan mana-mana kaum serta agama lain di negara ini.
Beliau juga berkata, menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO sudah berjaya mewujudkan perpaduan nasional.
Semalam, Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa gerakan itu akan bergerak di bawah sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.
Beliau dilaporkan berkata, parti itu diwujudkan sebagai wadah penyatuan yang akan bekerjasama dengan PAS dan parti-parti lain yang sehaluan bagi membentuk kesefahaman politik yang lebih komprehensif dan meyakinkan.- BH Online
