PRN Johor: Bukan Soal Persekutuan Lawan Negeri – Azleen Ambros

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pemuda UMNO Johor berasa kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung Dap Anthony Loke, selaku Menteri Pengangkutan yang cuba memainkan sentimen hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri secara berlebihan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros menegaskan cubaan memainkan sentimen bahawa PRN Johor adalah pertembungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan seperti yang cuba dimanipulasi oleh Anthony Loke tidak sepatutnya timbul sama sekali.

“Ini adalah pertandingan antara parti-parti politik dalam sebuah sistem demokrasi, bukannya konflik antara dua peringkat kerajaan.

“Namun, sekiranya ada pihak di Putrajaya yang memilih untuk mentafsir pertandingan demokrasi ini sebagai alasan untuk meminggirkan Johor atau menafikan hak yang sewajarnya diterima oleh rakyat Johor pada masa hadapan, maka itu adalah cerminan nilai dan prinsip mereka  bukan nilai dan prinsip BN di Johor.

“Rakyat Johor berhak membuat pilihan politik tanpa ugutan, tekanan mahupun gambaran seolah-olah pembangunan dan kebajikan mereka bergantung kepada parti mana yang memenangi pilihan raya. Hak rakyat untuk memilih adalah asas demokrasi yang wajib dihormati oleh semua pihak,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah Azleen, BN Johor akan terus menawarkan yang terbaik demi kestabilan, kemakmuran dan masa depan Bangsa Johor.

Mengulas lanjut, Azleen yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang menjelaskan bahawa PRN bukanlah soal kerajaan negeri menentang kerajaan pusat, apatah lagi soal menjatuhkan mana-mana kerajaan.

“PRN adalah proses demokrasi untuk memulangkan mandat kepada rakyat agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab memilih gabungan politik yang paling diyakini untuk mentadbir negeri Johor.

“PRN juga bukan tentang siapa paling agresif atau siapa mahu menjatuhkan sesiapa. BN Johor tidak memasuki pilihan raya ini untuk meruntuhkan mana-mana kerajaan. Sebaliknya, BN Johor memasuki PRN untuk mempertahankan dan mengukuhkan kerajaan yang telah dibina hasil muafakat bersama Bangsa Johor.

“Atas asas itu, BN Johor kekal konsisten menawarkan visi dan hala tuju yang jelas untuk negeri ini. BN Johor bersedia mengemukakan pelan tindakan serta penyelesaian tuntas bagi memperjuangkan kehidupan, kesejahteraan dan masa depan lebih empat juta rakyat Johor sekiranya terus diberikan mandat untuk mentadbir kerajaan negeri,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO