KKM Harus Beri Insentif Kepada Petugas Sukarelawan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat kesanggupan para sukarelawan untuk turut serta dalam perjuangan di medan hadapan satu perbuatan yang mulia.

Malah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menukilkan ucapan penghargaan dan tentunya rakyat seluruh negara juga turut mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka.

“Kepada para sukarelawan barisan hadapan negara, saya pasti rakyat di seluruh negara amat berterima kasih. Apatah lagi berkhidmat dalam keadaan pelaksanaan ‘total lockdown’. Semoga Allah S.W.T merahmati dan melindungi para petugas dan sukarelawan kesihatan kita walau di mana mereka menabur bakti,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Pada masa yang sama Ahmad Zahid turut menegaskan  KKM perlu memberi insentif yang sewajarnya kepada para sukarelawan tersebut.

“Segala kos kesukarelawanan perlu ditanggung sepenuhnya sukarelawan sendiri agak tidak munasabah. Sekurang-kurangnya sediakan peruntukan untuk mereka menampung kos pengangkutan dan makanan.

“KKM telah menyeru lebih ramai untuk tampil sebagai sukarelawan kesihatan dan khidmat anda ditagih bagi membantu KKM memerangi wabak COVID-19 yang semakin mengganas.

“Tenaga sukarelawan amat diperlukan bagi meringankan beban yang dipikul petugas kesihatan di seluruh negara ketika ini dan semua sedia maklum betapa sistem penjagaan kesihatan negara sedang berada dalam tekanan yang amat luar biasa.

“Saya percaya ramai bersemangat menawarkan diri untuk bersama para ‘patriot’ KKM berada di barisan hadapan. Bagaimanapun pastikan anda benar-benar bersedia dan sesuai untuk menggalas tanggungjawab itu sebelum menawarkan diri. Bersedia daripada segi tenaga mahupun daripada segi kesihatan kerana keselamatan diri perlu juga diutamakan,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.