Hina Yang Di-Pertuan Agong, Ahli PKR Perlu Dikenakan Tindakan Tegas – Azril Rizal

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Exco Pemuda UMNO Malaysia Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata tindakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang telah secara terang-terangan menghina Yang di-Pertuan Agong setelah memuat naik video secara langsung di Youtube rasmi miliknya dengan video bertajuk ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun’ adalah satu tindakan yang amat biadap.

Katanya, dalam video tersebut, Iswardy mengeluarkan kenyataan yang bersifat penghinaan terhadap Al-Sultan Abdullah dan baginda seperti tidak bertindak terhadap peningkatan kes COVID-19 dalam negara ini.

“Dengan melakukan fitnah sedemikian rupa, saya berharap pihak berkuasa dapat mengenakan hukuman yang tegas dan setimpal kepada Iswardy Morni sesuai dengan dengan hukuman dalam Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seperti tuduhan dalam kertas siasatan yang telah dibuka kepada beliau.

“Seharusnya juga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memecat keanggotaan Iswardy Morni daripada parti tersebut jika PKR benar-benar menyanjung institusi Raja Berpelembagaan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh menegaskan andai PKR tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Iswardy Morni, PKR dilihat merestui tindakan ahlinya untuk bertindak biadap terhadap Raja-Raja Melayu.

“Ternyata cubaan PKR untuk menjauhkan diri daripada kenyataan Iswardy Morni tidak mencukupi melainkan memecat beliau serta merta daripada parti tersebut untuk membuktikan PKR benar-benar menyanjung tinggi perlembagaan negara ini,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.