“Total Lockdown” Bertepatan, Kurangkan Himpitan Sistem Kesihatan Rakyat – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkata keputusan Kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ total adalah sangat bertepatan dan tindakan berkenaan mengurangkan himpitan serta tekanan terhadap sistem kesihatan rakyat.

Katanya, ruang rawatan rapi mesti digunakan untuk menyelamatkan seramai nyawa mungkin dan tidak mahu wujud keadaan memilih siapa yang perlu hidup dan siapa yang tidak.

“Namun saya terus khuatir dengan kemapanan sistem kesihatan kita. Pertama kerana proses vaksinasi kita sangat bergantung kepada pembekalan luar. Plan vaksinasi kita mungkin terbantut kerana perlahannya bekalan.

“Kedua kerana munculnya pelbagai varian baru yang lebih menggila. Kesiapsagaan kita harus mengambilkira ancaman pelbagai varian baru ini.

“Ancaman luar biasa mememerlukan respon luar biasa. Ramai orang melihat ‘total lockdown’ akan mengurangkan jumlah jangkitan namun kebolehjangkitan boleh menaik semula jika pembukaan pelbagai sektor ekonomi nanti berlaku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau seterusnya menambah kerajaan mesti segera mengupayakan sistem kesihatan negara dan jumlah ruang rawatan rapi mesti digandakan dengan pantas.

“‘Field ICU’ bukan solusi jangka masa panjang. Pembinaan hospital khusus untuk kecemasan nasional wajar dipertimbangkan. Bina dengan segera dan sepantasnya. Gemblingkan keupayaan syarikat pembinaan terbaik negara untuk tugas patriotik ini.

“Belajarlah dari China. Sebaik pandemik ini dikesan, perkara pertama mereka lakukan ialah membina hospital dengan pantas.

“Jika itu dirasakan sukar, maka pertimbangkan ‘nasionalisasi’ beberapa hospital swasta atau apa jua faciliti yang boleh dijadikan hospital milikan Kerajaan dengan pantas,” katanya.

Tambah Mohamad lagi, mengupayakan sistem kesihatan juga bermakna menggandakan keperluan sumber kesihatan dan kepakaran serta tenaga daripada pelbagai klinik swasta boleh ‘dipinjam’ semasa kecemasan ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mempunyai penyertaan sukarelawan dan ia adalah sangat baik namun mesti dipertingkatkan.

“Manfaatkan lambakan graduan perubatan yang belum mendapat penempatan. Sukarelawan tanpa latar belakang kesihatan pula boleh melakukan pelbagai kerja pentadbiran dan lapangan.

“Keletihan tenaga hadapan kesihatan adalah nyata. Justeru, pengambilan pakar yang telah bersara, pakar ekspat serta kakitangan terlatih dari negara seperti Filipina mesti segera di pertimbangkan jika sumber dalaman adalah terhad.

“Kita sangat terhutang budi dengan seluruh fraterniti kesihatan. Justeru segera lebarkan segala keperluan kesihatan nasional kerana pandemic Corona ini tidak akan berlalu dengan mudah. Yang pasti, perang melawan wabak ini akan panjang dan kompleks,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.