Khaled Saran Pusat Vaksinasi Ditambah, Elak Lama Menunggu

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan penerimaan rakyat pelbagai peringkat terhadap pentingnya vaksinasi semakin meningkat.

Beliau memberikan contoh bagaimana Pusat Pemberian Vaksin, Dewan Raya Bandar Seri Alam hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan termasuklah kalangan mereka yang berusia.

“Saya juga melihat kehadiran yang cukup positif untuk mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas bagi menerima vaksin hari ini.

“Adalah satu perkara yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan untuk terus menambah bilangan pusat vaksinasi supaya lebih ramai rakyat dapat divaksin dan tidak menunggu giliran yang lama,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan alat bantu peralatan sokongan tambahan kepada Pusat Pemberian Vaksin, Dewan Raya Bandar Seri Alam.

Khaled seterusnya menambah melalui Yayasan Pasir Gudang, pihaknya telah menyediakan tambahan laptop, printer, smart tv dan peti sejuk bagi memberikan kemudahan dan alatan sokongan untuk meringankan beban petugas baris hadapan di sini.

“Yayasan juga menyumbang menyediakan sarapan pagi selama sebulan untuk petugas di sini sebagai salah satu inisiatif berterusan untuk mereka yang berada di sini,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.